Advertlets Ads

8 Feb 2014

Cinta Nurain (Part 07)

Part 07:

             “What?????”  Sherry seakan-akan tidak percaya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Amna sebentar tadi. Amna yang duduk di birai katilnya yang bertentang dengan katil Sherry hanya tertunduk diam.
            “Kau ulang dekat aku selagi lagi apa yang kau cakap tadi Amna??” Suara Sherry benar-benar kedengaran marah. Tahap kemarahannya terhadap Amna yang sedang diam menikus dihadapannya seolah-olah sudah berada di kemuncak.
            “Sherry…Aku…Aku…” Amna mati kata. Dia tidak tahu apa yang harus diperjelaskan kepada teman sebiliknya merangkap teman baiknya itu. Dia juga tidak tahu alasan apakah yang harus diguna pakai olehnya untuk membantu dirinya dari terus dimarahi oleh teman sebiliknya Sherry atau nama sebenarnya Sharifah Sarimah binti Syed Abdullah Sani itu.
            “Aku tak faham betul dengan kau ni Amna! Selalunya aku dengar peluang hanya diberi sekali je dalam seumur hidup. Tapi kau ni…..” Kata-kata Sherry terhenti di situ. Kemarahannya terhadap Amna masih belum reda. Ditatap wajah polos Amna yang tertunduk dengan penuh geram.
            “Eh, ada apa peluang kali kedua.” Amna memberanikan diri mengangkat muka menjawab kata-kata teman sebiliknya yang dah berupa singa lapar yang akan menerkam mangsanya pada bila-bila masa sahaja.
            “Okay, fine! Aku pernah dengar peluang kedua diberi tapi aku tak pernah dengar orang bagi peluang sampai beribu kali melainkan kau….!” Sherry betul-betul marah. Dia benar-benar naik marah apabila Amna memberitahunya bahawa Amna telah memaafkan Hakim dan menerimanya kembali.
            “Aku tak boleh tengok dia macam tu Sherry. Dia beria-ria merayu supaya aku memaafkan dia….” Amna berkata perlahan. Cuba memberikan alasan yang terbaik supaya teman sebiliknya itu memahami keadaan dirinya.
            “Kau sedar tak Amna. Setiap kali Hakim buat hal, curang dengan kau dan setiap kali tu jugak kau terluka. Lepas tu, tiap kali tu jugak kau kata yang takkan terima dia kembali but at the end, kau tetap akan maafkan dia. Dan setiap kali kau maafkan dia dan setiap kali itulah dia akan curang kembali… Dan itulah yang akan berlaku over and over and over…” Sherry mula mengingkatkan Amna dengan nada agak keras. Riak wajah Amna yang kelihatan ketakutan dan serba salah itu dikerling sahaja. Terasa sakit hatinya mengenangkan sahabat baiknya itu terlalu mudah dipermainkan oleh lelaki berhidung belang seperti Hakim Ridzal itu.
            “Aku…erkkk aku…” Suara Amna terlekat di kerongkong. Dia tidak tahu alasan apa yang harus diberikan lagi. Dia faham kenapa Sherry mengamuk selepas mendengar kata-katanya tadi. Sherrylah tempat Amna mengadu disaat Hakim melukakan hatinya. Sherry jugalah yang sentiasa ada untuk mendengar tangisan dan rintihan hatinya. Malah hanya Sherry yang dipercayainya untuk menyimpan segala rahsia hatinya.
            “Kau tak payah nak ooo errkkk, ooo erkkk sangatlah Amna! Aku tahu, kau nak beritahu dekat aku yang kau tak sampai hati tengok Hakim merayu-rayu dekat kau kan? Kau jugak nak beritahu aku yang kau sayang sangat dengan hubungan korang yang dah wujud sejak zaman bangku sekolah lagi kan? Alasan kau dah lapuklah Amna.” Sherry masih tidak puas hati. Terasa sangat geram dihatinya apabila terkenangkan Amna yang terlalu menyayangi Hakim sehingga sanggup memaafkan Hakim walaupun lelaki itu telah beribu kali melukai hatinya.
            “Sherry aku…..” Amna terdiam. Jari kakinya menguis-nguis lantai bilik mereka. Dia tahu Sherry benar-benar kecewa dengan pengakuannya tadi tetapi bagi dirinya Hakim Ridzal begitu istimewa. Mana mungkin dia dapat melupakan Hakim Ridzal, lelaki yang telah berjaya memenangi hatinya sejak di zaman sekolah menengah lagi.
            “Dah lah Amna. Kau pun dah buat keputusan nak terima dia balik. Tapi kalau suatu hari nanti, dia lukakan hati kau lagi, pandai-pandailah kau bawak diri.” Perlahan Sherry bersuara sambil berlalu meninggalkan Amna yang tertunduk memandang lantai.
            “Sherry…Sorry...” Sempat Amna mengucapkan kata-kata maaf tatkala Sherry berlalu meninggalkannya di bilik.
            Mendengar kata-kata Amna itu, Sherry terhenti di pintu. Dia berpaling ke arah Amna yang masih duduk di bucu katilnya sambil menunduk memandang lantai. Tercalit rasa simpati terhadap sahabat baiknya itu. Amna sudah dikenali sejak di semester pertama di universiti. Mereka telah ditempatkan sebilik di apartment Kolej Kediaman Cempaka, Universiti Malaysia Sarawak itu sejak di semester pertama sehingga ke semester terakhir mereka kini. Walau Amna dan Sherry berlainan kos dan fakulti, namun mereka tetap akrab bersama.
            “It is okay Amna. Aku faham. Ermm, kalau kau perlukan aku, carilah aku. InshaAllah, aku tetap akan bersama-sama dengan kau.” Sherry perlahan menuturkan kata-kata itu. Walau kecewa mana dia terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Amna, selaku sahabat baik Amna dia tetap menyokong Amna walau dalam apa keadaan sekalipun.
            “Terima kasih yea Sherry.” Amna mengangkat mukanya memandang Sherry yang berdiri di muka pintu bilik mereka. Ternyata ada sendu di suaranya.

            “Sama-sama. Kau kan kawan baik aku.” Sherry berkata dan terus berlalu pergi meninggalkan Amna yang telah berani untuk mengangkat wajahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

leave your comment here!