Advertlets Ads

30 Jan 2014

Cinta Nurain (Part 03)

Part 03:



        “Bonda………………..” Umairah berlari turun dari kereta BMW X6 hitam Umar bagi mendapatkan bondanya yang sedang berdiri di tepi pintu rumah.
           “Rindunya bonda dengan Aira….” Puan Salima memeluk Umairah yang belari mendapatkannya.
          “Aira pun rindu bonda tapi babah selalu sibuk. Dia tak dapat bawak Aira jumpa bonda selalu.” Laju Umairah mengadu sambil memeluknya bonda Anissa Nurain yang turut dpanggilnya bonda.
            “Babah bukannya sengaja tak nak bawak Aira jumpa bonda, babah kan sibuk. Kalau Aira nak datang rumah bonda, Aira telefonlah bonda, nanti bonda boleh datang ambil Aira kalau bonda tak sibuk.” Puan Salima cuba menyebelahi menantunya, Umar.
            “Bonda ni sama je dengan babah. Asyik-asyik sibuk!” Umairah melepaskan pelukan Puan Salima darinya tanda protes.
            “Umairah Nurain! Kenapa buat perangai macam tu. Minta maaf dengan bonda sekarang.” Lembut Umar menegur Umairah sambil dia menyalami ibu mertuanya itu.
            “Aira.. Aira mintak maaf bonda. Aira janji Aira tak buat macam tu lagi.” Umairah menundukkan wajahnya. Kelihatan riak kesedihan di wajah polos anak kecil itu.
            “Aira, bonda janji, kalau bonda tak sibuk tolong tok ayah Aira dekat pejabat, bonda datang ambil Aira dekat rumah yea, kita pergi jalan-jalan. Nak tak?” Puan Salima memandang lembut satu-satunya cucunya itu dan memeluknya erat.
            “Bonda promise eh?” Laju Umairah mengangkat wajah polosnya itu.
       “Iye! Bonda promise..” Puan Salima tersenyum mendengar kepetahan Umairah sambil mencium pipi cucunya itu.
            “Bonda… Aira laparlah..” Umairah tersenyum memandang Puan Salima.
            “Allah! Bonda lupa nak ajak masuk. Jom, jom masuk! Makan malam pun bonda dah siapkan.” Ajak Puan Salima sambil menarik tangan menantu dan cucunya.
            Umar dan Umairah membuntuti Puan Salima masuk ke dalam rumah tanpa banyak tanya lagi. Setibanya di meja makan, kelihatan Suti pembantu rumah Encik Ammar dan Puan Salima sedang sibuk menghidang pelbagai jenis lauk pauk untuk makan malam mereka.
            “Ayahnda mana bonda?” Ramah Umar bertanya perihal ayah mertuanya.
            “Ayahnda kamu ke masjid. Kejap lagi adalah tu.” Puan Salima menjawab sambil sibuk menyenduk nasi ke dalam pinggan Umairah dan Umar.
            “Kita makan tunggu ayahnda sekalilah kalau macam tu.” Kata Umar sambil tersenyum memandang ibu mertuanya.
            “Ayahnda kamu tu kejap lagi sampailah. Masa bonda call dia tadi, dia kata lepas solat Isya’ berjemaah dia akan pulang terus ke rumah. Kita makan dulu, kesian bonda tengok Aira macam dah lapar sangat ni. Nanti bila ayahnda dah sampai, dia join kita dinner sekali.” Lembut Puan Salima berbicara memandang menantu dan cucunya. Dia simpati melihat Umar yang tidak terurus makan dan pakainya semenjak kematian anak gadisnya, Annisa Nurain lima tahun lalu. Sudah beberapa kali Puan Salima dan besannya Puan Hidayani mengajak Umar dan Umairah tinggal bersama-sama mereka namun ajakan mereka selalunya ditolak secara baik oleh Umar yang lebih suka untuk tinggal di rumah lamanya. Kata Umar, rumah tersebut meninggalkan banyak memori indahnya bersama Anis.
            “Tak sedap pulak rasanya kalau kita makan dulu bonda. Aira ni sebenarnya takdelah lapar sangat, tapi dia memang suka buat muka lapar macam tak makan setahun.” Umar masih masih ingin menanti kepulangan ayahndanya sambil mencuit pipi anak manjanya itu.
            “Aira dah lapar ke sayang? Aira nak makan dulu atau Aira nak makan sekali dengan tok ayah? Tok ayah pergi masjid, kejap lagi baru dia balik.” Puan Salima bertanyakan pandangan Umairah pula. Dicuit pipi gebu Umairah yang sedang duduk disebelah Umar.
            “Aira nak makan dengan tok ayah sekalilah!’ Petah Umairah menjawab sambil tersenyum.
            “Kalau nak makan dengan tok ayah, kejap lagilah baru Aira boleh makan, bila tok ayah dah balik dari masjid. Perut Aira boleh tahan lapar ke?” Puan Salima bergurau dengan cucunya sambil mencuit perut Umairah.
            “Boleh! Aira dah makan biskut chipsmore dengan air teh o petang tadi sebelum datang sini.” Umairah menjawab sambil tersenyum dan mengusap-ngusap perutnya tanda masih kenyang.
            “Sayang bonda minum petang dengan biskut chipsmore je ke?” Puan Salima tersenyum sumbing memandang Umairah yang petah berbicara itu.
            Soalan Puan Salima itu mendapat jawapan anggukan laju dari Umairah. Tertunduk Umar mendengar kata-kata Umairah itu. Terasa segan dihatinya apabila ibu mertuanya mengetahui yang dia hanya memberikan Umairah biskut chipsmore sebagai minum petang mereka. Kesibukannya di pejabat kadangkala memaksa Umar mengabaikan Umairah terutama sekali mengenai pemakanan yang berkhasiat untuk Umairah. Seawal jam tujuh pagi, Umar akan menghantar Umairah ke taska, dan Umairah akan dijemput pulang pada jam enam petang oleh Umar. Umar hanya mengharapkan pihak taska untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk Umairah kerana pada malam hari, dia akan membawa Umairah makan di restoran masakan panas atau restoran makanan segera.
            “Aira duduk dengan bonda nak?” Puan Salima cuba memancing minat Umairah untuk tinggal bersamanya. Terdetik kerisauan dihatinya melihat keadaan Umar yang sentiasa sibuk dengan bebanan kerja di pejabat sehingga mengabaikan pemakanan Umairah yang sedang membesar. Dia amat risau sekiranya Umar hanya memberikan Umairah makanan segera yang tidak berkhasiat yang boleh didapati dengan mudah dimana-mana restoran makanan segera.
            Umar terkejut mendengar soalan yang diajukan secara tiba-tiba oleh ibu mertuanya itu. Dia memandang Umairah yang sedang asyik bermain dengan anak patung Barbie disebelahnya. Umairah hanya mendiamkan diri dan terus bermain dengan anak patungnya tanpa mempedulikan pertanyaan bondanya. Umar pula hanya terdiam melihat reaksi Umairah yang memang tidak mendengar pertanyaan bondanya atau sengaja pura-pura tidak mendengar pertanyaan bondanya itu.
            “Aira sayang. Aira nak duduk dengan bonda dan tok ayah tak?” Puan Salima mencuba untuk kali kedua. Kali ini disentuhnya bahu Umairah yang duduk ditengah-tengah di antaranya dan Umar di meja makan itu.
            Umairah mendongak memandang Puan Salima yang menyentuh lembut bahunya. “Bonda dengan tok ayah pun sibuk jugak macam babah.”
            “Bonda rasa, bonda nak berehat je dekat rumah kalau Aira duduk dengan bonda.” Puan Salima tersenyum, terus memujuk Umairah. Umar kaget mendengar kata-kata ibu mertuanya itu.
            “Aira nak duduk dengan babah. Kalau Aira duduk dengan bonda, babah nak duduk dengan siapa?” Umairah memandang Umar yang masih kaget mendengar pertanyaan Puan Salima tadi.
            “Babah duduk dengan kita jugaklah dekat sini.” Puan Salima cuba memancing minat Umairah lagi. Dikerlingnya Umar yang hanya diam membatu.
            “Aira suka duduk dengan bonda tapi Aira lagi suka duduk dengan babah dekat rumah ibu. Lagipun babah dah janji nak bagi Aira ibu.” Petah Umairah berbicara tentang janji babahnya tadi. Terangkat kepala Umar dan Puan Salima mendengar kata-kata Umairah itu.
            Puan Salima memandang Umar dengan sejuta persoalan di fikirannya. Selama ini dia fikirkan Umar tidak dapat melupakan Anis namun perkiraannya silap sama sekali.
            “Errr bonda. Sebenarnya…” Umar mati kata. Dia tidak tahu bagaimana harus dia perjelaskan situasi tersebut kepada ibu mertuanya. Dia bimbang sekiranya ibu mertuanya memikirkan bahawa dia telah melupakan Annisa Nurain.
            “Umar… Bonda tak kisah, Umar kena move on.” Lembut bicara Puan Salima. Dia tersenyum lebar setelah mendengar kata-kata Umairah tadi.
            “Tapi bonda….” Umar tidak sempat menghabiskan kata-katanya kerana Encik Ammar yang baru tiba dari masjid telah mencelah perbualan mereka.
            “Sal tak ajak Umar dengan Aira makan dulu ke?” Encik Ammar mencelah perbualan isteri dan menantunya. Diciumnya pula pipi Umairah yang asyik bermain anak patung.
            “Sal dah ajak Umar dengan Aira makan dulu tapi Umar dengan Aira yang nak tunggu abang. Nak makan sekali kata mereka.” Puan Salima tersenyum sambil menjawab pertanyaan suaminya.
            “Kenapa Aira tak makan dulu? Aira tak lapar ke tunggu tok ayah?” Encik Ammar mencuit pipi Umairah sebelum duduk.
            “Aira boleh tahan lapar. Aira nak makan dengan tok ayah sekali.” Kata Umairah sambil tersenyum.       
            “Aira bacakan doa makan yea sayang?” Encik Ammar tersenyum memandang cucunya yang sangat petah berbicara itu.
            Umairah menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Dengan pantas dia  mengangkat tangan dan membacakan doa makan. Umar, Encik Ammar dan Puan Salima tersenyum melihat Umairah yang begitu lancar membaca doa makan sambil mereka mengangkat tangan menadah doa memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT di atas rezeki yang dikurniakan kepada mereka sekeluarga.
            “Macam mana dengan projek papa Umar dekat Bangsar tu?” Encik Ammar memulakan perbualan dengan Umar.
            “Ish abang ni, waktu makan keluarga macam ni pun masih nak tanya hal kerja.” Puan Salima menegur lembut suaminya.
            “Takpelah bonda. Umar jarang-jarang jumpa ayahnda, bukan macam papa yang selalu pergi main golf dengan ayahnda, jadi waktu berjumpa macam ni lah baru Umar ada masa nak bercerita tentang projek Umar dengan papa dekat ayahnda.” Umar menjawab sambil tersenyum. Sesekali dia menyendukkan sayur ke dalam pinggan Umairah. Umairah agak liat untuk memakan sayur-sayuran sehingga acapkali dipaksa oleh Umar.
            “Hurm, anak beranak sama je kamu semua ni! Baik Umar, ayahndanya dengan papanya, semuanya workaholic!” Kata Puan Salima dengan nada yang agak geram. Dia sememangnya tidak suka sekiranya Encik Ammar berbicara tentang urusan kerja pada waktu makan kerana bagi Puan Salima, waktu makan adalah waktu keluarga dimana segala urusan kerja ditinggalkan ditepi.
            “Okaylah. Kita stop cerita pasal kerja. Erm, cucu tok ayah sekarang ni dah pandai apa dalam belajar dekat sekolah?” Encik Ammar memahami perasaan isterinya. Segera dia mengalihkan topik perbualan mereka kepada si petah Umairah.
            “Aira dah pandai membaca tok ayah tapi belum lancar. Cikgu kata Aira paling pandai dekat dalam kelas.” Umairah tersenyum bangga memuji dirinya sendiri.
            “Baguslah kalau cucu bonda dah pandai membaca. Nanti bonda belikan Aira story book, nak? Lepas tu nanti, bonda akan buat satu bilik khas untuk Aira membaca dan kita beli story book banyak-banyak dan letak dekat situ. Nak?” Puan Salima tersenyum teruja menyatakan rancangannya untuk Umairah sambil meletakkan ayam goreng ke dalam pinggan Umairah.
            “Nak..Nak..Nak!” Umairah menjerit keriangan sambil melompat-lompat di atas kerusi.
            “Umairah… Ingat tak apa yang babah selalu pesan dekat Umairah.” Perlahan namun sedikit tegas Umar bersuara.
            “Sorry babah.” Perlahan Umairah bersuara. Sedikit takut selepas ditegur Umar mengenai sikapnya.
            “Takpelah Umar, Aira ni kan budak-budak lagi.” Kata Puan Salima sambil tersenyum melihat cucunya.
            “Saya bukan apa bonda, saya tak nak Aira ni dimanjakan sangat.” Perlahan Umar menjawab. Ibu mertua dan ayah mertuanya dipandang dengan pandangan yang serba salah.
            “Aira ni jelah satu-satunya cucu bonda Umar. Rasanya tak salah kalau bonda nak manjakan dia.” Puan Salima menjawab kata-kata menantunya itu yang seolah-olah menghalang dia memanjakan cucunya sendiri.
            “Errr, maksud saya, bukannya saya tak izinkan bonda dan ayahnda nak manjakan Aira tapi saya cuma tak nak bonda dengan ayahnda manjakan Aira dengan kemewahan. Saya takut Aira akan terbiasa meminta-minta dengan bonda dan ayahnda.” Umar menjawab tergagap-gagap. Dia bimbang kata-katanya sebentar tadi disalahertikan kedua ibu bapa mertuanya.
            “Tapi memang semua harta yang bonda dan ayahnda ada ni memang untuk Aira pun. Umar sendiri pun tahu kan, Aira jelah satu-satunya pewaris harta bonda dan ayahnda ni.” Puan Salima masih tidak berpuas hati mendengar kata-kata Umar itu.
            “Saya faham tu….” Belum sempat Umar menghabiskan kata-katanya, Encik Ammar mencelah.
            “Ayahnda faham maksud Umar tu. Umar jangan risau, ayahnda akan pastikan Aira hanya dimanjakan dengan kasih sayang bonda dan ayahnda, bukannya dengan kemewahan.” Tenang Encik Ammar menuturkan kata-katanya sambil tersenyum memandang menantunya yang kelihatan serba salah dengan kata-kata isterinya.
            “Terima kasih ayahnda.” Umar tersenyum lega setelah mendengar kata-kata bapa mertuanya itu. Puan Salima terus diam membisu selepas mendengar kata-kata suaminya tadi. Hakikatnya Puan Salima sedar maksud kata-kata Umar itu yang inginkan Umairah tidak dimanjakan dengan kemewahan supaya Umairah di ajar dari kecil agar tidak terlalu meminta-minta kerana ia akan memberi kesan kepada Umairah di masa akan datang sekiranya dia dimanjakan dengan kemewahan yang berlebih-lebihan.
            “Bonda…” Perlahan Umar memanggil ibu mertuanya yang kelihatan diam selepas suaminya menyebelahi Umar.
            Puan Salima mengangkat mukanya memandang Umar yang duduk berhadapan dengannya. Dia cuba untuk tersenyum kepada menantunya bagi menutup rasa kecewanya itu.
            “Malam ni Umar dengan Aira tidur dekat sini boleh tak? Umar rasa Aira kurang kasih sayang bonda dan tok ayah dia. Jadi Umar ingat Umar nak bonda dan tok ayah Aira manjakan Aira dengan kasih sayang mereka malam ni.” Umar berbicara lembut cuba memujuk hati ibu mertuanya itu.
            Terkejut Puan Salima mendengar kata-kata Umar itu. Dia seakan tidak percaya mendengar bait-bait kata yang keluar dari mulut menantunya itu. Semenjak kematian Anis, Umar seboleh-bolehnya cuba mengelakkan dirinya dari bermalam di rumah mereka kerana Umar tidak mahu bermalam di bilik Anis yang meninggalkan begitu banyak memori indah kepada mereka berdua. Pada kebiasaannya, Umar hanya meninggalkan Umairah keseorangan bersama mereka sekiranya Umairah merengek untuk tidur di rumah mereka manakala Umar akan pulang ke rumahnya sendiri.
            “Betul ke ni?” Puan Salima bertanya meminta kepastian seakan tidak percaya mendengar kata-kata Umar itu. Encik Ammar juga kelihatan agak terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut menantunya, Umar.
            “Umar dah lama tak tidur dekat rumah ni semenjak ketia…..” Umar tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Dadanya terasa berat untuk meneruskan kata-katanya itu. Bagi dirinya Annisa Nurain tidak pernah pergi darinya. Annisa Nurain masih setia berada disisinya. “Kita tidur dekat rumah bonda dengan tok ayah malam ni nak tak Aira?” Umar secara tiba-tiba bertanyakan Umairah yang sedang makan di sebelah ibu mertuanya.
            “Nak..Nak..Nak! Biasa Aira tidur sorang-sorang je dekat sini. Babah tak teman pun. Mesti best kan babah tidur dekat sini jugak.” Umairah menjerit kegembiraan setelah mendengar kata-kata babahnya.
            “Okay, malam ni babah temankan Aira tidur dekat sini tapi Aira kan nak kena tidur dengan tok ayah dengan bonda sebab nak dimanjakan dengan kasih sayang tok ayah dengan bonda.” Umar memandang Umairah yang kelihatan begitu teruja itu. Encik Ammar dan Puan Salima hanya tersenyum memandang keletah Umar dan Umairah itu.
            “Alaaa… Kalau macam tu Aira nak tidur dengan tiga-tigalah!” Umairah menjawab sambil tersenyum lebar. Terasa sukar untuk dia membuat pilihan samada ingin tidur bersama tok ayah dan bondanya atau tidur bersama babahnya yang baru pertama kali ingin tidur disini bersama-samanya.
            “Ish, mana boleh macam tu!” Umar ketawa kecil mendengar kata-kata Umairah. Encik Ammar dan Puan Salima turut sama tertawa.
            “Kenapa pulak tak boleh? Babah kan anak tok ayah dengan bonda, anak kan boleh tidur dengan mak ayah dia.” Laju Umairah menjawab kata-kata Umar itu.
            “Ish, siapa yang beritahu Aira macam tu?” Encik Ammar akhirnya mencelah perbualan di antara Umar dan Umairah.
            “Cikgu yang cakap!” Selamba Umairah menjawab pertanyaan tok ayahnya.
            “Babah tak boleh tidur dengan bonda dengan tok ayah. Babah menantu tok ayah dengan bonda, bukannya anak bonda dan tok ayah.” Lembut Umar cuba menerangkan situasinya supaya dapat difahami si kecil yang begitu petah berbicara itu. Puan Salima memandang Umar dengan perasaan simpati kerana dia terpaksa menjadi ayah dan ibu kepada Umairah. Dia terpaksa menerangkan kepada Umairah tentang perkara-perkara baru yang Umairah pelajari supaya anak kecil itu dapat memahami kehidupan secara realiti.
            “Aira sayang… Babah memang menantu bonda tapi bonda dan tok ayah sayang babah Aira macam anak bonda dan tok ayah sendiri. Memang babah tak boleh tidur sekali dengan bonda sebab bonda dengan babah bukan mahram.” Belum sempat Puan Salima berbicara sehingga habis, lebih cepat Umairah bertanya kepadanya.
            “Mahram tu apa bonda?” Umairah memandang bondanya dengan perasaan penuh minat untuk tahu.
            “Mahram tu adalah orang yang mempunyai hubungan yang halal buat kita seperti suami isteri macam tok ayah dengan bonda, ibu bapa dan anak-anak macam Aira dengan babah dan adik beradik. Tapi, walaupun Aira adalah mahram babah, bila Aira dah besar, dah jadi anak dara, Aira tak bolehlah nak tidur dengan babah lagi sebab tak elok dipandang dan tak manis. Jadi kalau babah anak bonda sekalipun, tak manislah kalau babah tidur dengan bonda.” Puan Salima berusaha keras untuk menerangkan keadaan sebenar dalam cara yang mudah difahami kepada Umairah yang kelihatan begitu teruja ingin tahu.
            “Adik beradik tu macam mana bonda?” Umairah kelihatan semakin ingin tahu.
            “Adik beradik tu… Errr, macam Aira dengan kakak Aira, abang Aira dan adik-adik Aira. Tu semuanya adik beradiklah namanya.” Tergagap-gagap Puan Salima cuba memberi contoh kepada Umairah. Terasa sukar untuk dia menerangkan semua perkara kepada Umairah yang begitu teruja untuk tahu itu dan ini.
            “Aira mana ada kakak, abang dan adik. Jadi Aira takde adik beradiklah yea bonda?” Umairah memandang tepat ke anak mata bondanya. Dia seolah-olah inginkan pengesahan daripada bondanya.
            “Errr, tadi kan Aira kata babah nak bagi Aira ibu baru. Nanti bila Aira dah ada ibu baru, Aira akan dapat adik. Jadi Aira akan ada adik beradik.” Perlahan Puan Salima cuba menerangkan perkara tersebut kepada Umairah namun butir bicara Puan Salima kepada Umairah itu masih dapat ditangkap oleh telinga Umar.
            Umar tertunduk mendengar kata-kata Puan Salima itu. Dia nampaknya semakin terjerat dengan kehendak Umairah yang inginkan ibu baru dan desakan kedua ibu bapa dan ibu bapa mertuanya yang inginkan dia mencari pengganti kepada Annisa Nurain.
            Melihat Umar yang tertunduk itu, Puan Salima segera bersuara setelah melihat suaminya, Encik Ammar yang kelihatan terkejut mendengar kata-katanya. “Errr, kalau Umar penat, Umar naiklah rehat kat atas. Aira nanti tidur dengan ayahnda dan bonda je.” Puan Salima mengerling suaminya yang seperti tidak jadi untuk bertanyakan soalan kepada Umar setelah dia memberitahu Umar supaya naik berehat di bilik.
            “Errr, kalau macam tu Umar naik dululah ayahnda, bonda. Lagi pun, Umar belum solat Isya’ lagi ni.” Umar dengan segera meminta diri untuk beredar dengan alasan yang dia belum menunaikan solat Isya’. Umar tahu, dia perlu segera pergi dari situ bagi mengelakkan lebih banyak soal jawab tentang ‘ibu baru’ yang di warwarkan oleh anaknya Umairah. Kedua ibu bapa mertuanya hanya menganggukkan kepala tanda mengizinkan dirinya untuk tidak berada di situ dan dengan segera Umar berlalu pergi menuju ke bilik Annisa Nurain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

leave your comment here!