Advertlets Ads

30 Jan 2015

Bab 01: Cerita Cinta Yang Tertangguh

BAB 01: CERITA CINTA YANG TERTANGGUH


Tanggal 30.07.1977, disebuah tempat yang bernama Kampung Pengkalan Baru, Temerloh, Pahang. Lahirnya cahaya mata kedua hasil perkongsian hidup pasangan Encik Salleh dan Puan Rogayah.
            “Wahai anakku Iman. Berbaktilah kamu kepada setiap manusia di muka bumi ini disepanjang kehidupan kamu kelak. Sesungguhnya, ibumu ini mempertaruhkan nyawa berjam-jam lamanya demi melahirkanmu. Berbaktilah duhai anakku.” Ucap Puan Rogayah dalam nada syahdu sambil mencium lembut ubun-ubun bayi yang baru lahirkannya.

Sepuluh Tahun Kemudian, Tahun 1987.
           
“Iman!!! Kemana kamu nak bawak adik kamu tu?” Jerit Puan Rogayah sambil bangun meluru ke arah Iman Salihim yang sedang mendukung adiknya yang kelima iaitu anak ke tujuh pasangan Puan Rogayah dan Encik Salleh.
“Iman nak main je dengan dia mak!” Laju Iman menjawab kata-kata emaknya. Dia segera duduk di beranda rumahnya dan meriba bayi perempuan yang masih kecil itu.
“Iman… Adik tu baru sebulan umurnya. Ini bukan anak patung tahu! Kamu boleh angkat letak sesuka hati.” Marah Puan Rogayah sambil mengangkat bayi perempuannya dari ribaan Iman.
“Alaa mak ni. Adik tu comel sangat. Bagilah can Iman nak main dengan dia.” Iman cuba meraih simpati dari emaknya.
“Ah sudah! Kamu jangan nak macam-macam! Banyak lagi adik-adik lain yang boleh kamu bawak bermain.” Jawab Puan Rogayah sambil meletakkan kembali bayi perempuannya kedalam buaian.
“Along!” Jerit Puan Rogayah. Dia memanggil anak sulungnya, Irfan Sufyan.
“Ya mak!” Segera Irfan menyahut. Berbeza perwatakan dengan adik keduanya Iman Salihim yang suka bercoleteh,  Irfan Sufyan lebih pendiam. Malah dia lebih banyak menghabiskan masanya dirumah membantu emaknya menjaga adik-adiknya seramai enam orang itu.
“Pergi bawak Iman, Ika, Ikhsan, Ikhwan dan Ina pergi mandi. Lepas tu suruh dia orang siap sedia nak mengaji. Dah nak Maghrib ni.” Arah Puan Rogayah sambil menghenjut buaian Ila Shahila. Anak bongsunya buat masa ini.
“Baik mak.” Patuh Irfan menjawab.
“Iman, Ika, Ikhsan, Ikhwan, Ina. Jom mandi.” Ajak Irfan sambil mengangkat dan mendukung Ina yang baru berusia dua tahun ketika itu. Semua adik-adiknya bangun dan mendapatkan tuala masing-masing kecuali Iman.
“Iman… Jom mandi. Nanti dah gelap, mulalah kamu takut nak mandi sorang-sorang dekat luar tu.” Tegur Irfan lembut.
“Iman tak takutlah along! Iman kuat!” Iman menjawab sinis sambil mengangkat tangan menunjukkan lengannya yang sedikit berotot.

“Dah! Kamu jangan nak mengada-ngada Iman. Abah balik kerja nanti, tengok kamu tak siap lagi nak pergi mengaji, abah marah.” Irfan menarik lembut tangan Iman. Dengan langkah longlai, Iman pasrah melangkah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

leave your comment here!