Advertlets Ads

26 Feb 2014

Cinta Nurain: Part 14

Part 14:



“Umar…” Perlahan Puan Salima memanggil. Umar yang sedang memakai kasut terhenti seketika. Dia langsung terus menatap wajah ibu kesayangannya.
            Pada pagi Sabtu itu, sebelum Umar keluar atas urusan perniagaan, dia telah menghantar Aira ke rumah ibunya.
            “Boleh kita berbual sekejap?” Puan Salima memandang lembut penuh mengharap. Sudah lama benar dia tidak berbual-bual dengan anak lelaki tunggalnya ini. Semenjak mengambil alih tugas bapanya di Ukhwah Holdings, masa Umar di rumah ibu dan bapanya semakin terhad apatah lagi di rumah kedua ibu dan bapa mertuanya.
            “Duduk sini kejap Mar.” Puan Salima mempelawa Umar duduk di kerusi rehat di halaman rumah mereka bersama-sama dengannya. Umar hanya menurut perintah. Dia bangun dan menuju ke arah kerusi rehat yang diduduki ibunya.
            “Ibu tengok Umar sibuk sangat kebelakangan ni.” Puan Salima memulakan bicara tatkala Umar melabuhkan punggung di kerusi sebelahnya.
            “Banyak projek masuk sekarang ni bu. Tu yang Mar sibuk sikit.” Umar menjawab perlahan. Tangannya sibuk menekan-nekan telefon pintarnya. Melihat jadual kerjanya barangkali.
            “Walau sibuk macam mana sekali pun Umar jangan abaikan Aira. Ibu tengok weekend pun Umar sibuk sekarang ni. Macam mana dengan Aira?” Puan Salima bertanya lembut.
            “Umar bukan sengaja nak tinggalkan Aira waktu hujung minggu macam ni bu, tapi this project is really important to ust. Jadi Umar terpaksa tinggalkan Aira untuk sementara waktu kat sini. Habis je appointment Umar dengan clients nanti, Umar datang ambil Aira.” Umar memberi alasan yang agak kukuh. Atas sebab urusan kerja, Umar terpaksa meninggalkan Umairah di rumah ibunya pada hujung minggu ini kerana Umar terpaksa menghadiri beberapa mesyuarat penting di tapak projek bersama-sama dengan clients nya.
            ”Ibu faham Umar sibuk, tapi ibu tengok dah sebulan Umar asyik kerja waktu hujung minggu. Aira pun dah mengadu macam-macam dengan ibu.” Puan Salima mengeluh perlahan.
            “Aira cakap apa ibu?” Umar memandang Puan Salima pelik.
            “Aira cakap yang babah asyik sibuk je sampai takde masa dengan dia. Kalau ada ibu takdelah Aira bosan sangat duduk rumah sorang-sorang.” Puan Salima menjawab sambil tersenyum.
            “Eh, bukan ke Umar dah hantar Aira ke rumah ibu. Aira nak ibu apa lagi?” Umar menggaru kepala yang tak gatal.
            “Ini ibu Umar, Aira nak ibu dia sendiri.” Puan Salima tersenyum lagi. Penuh makna.
            “Oooooo….” Umar akhirnya faham. “Hmmm, nak perangkap aku jugaklah ni.” Hati Umar berbisik sendiri.
            “Umar…..” Lembut Puan Salima memanggil.
            “Yea bu….” Umar menjawab lemah. Seolah-olah dapat menangkap apa yang bakal diperkatakan oleh ibunya.
            “Ibu rasa dah tiba masanya…”
            “Eh bu. Umar dah lewat ni. Umar pergi dulu yea.” Cepat-cepat Umar bangun dan menghulurkan tangannya untuk menyalami ibunya.
            “Mar… Ibu belum habis cakap lagi ni.” Puan Salima bernada kecewa.
            “Kita bincang hal ni lain kali yea bu.” Umar mencium tangan ibunya.
            “Memang itulah selalunya alasan Mar kan?” Puan Salima mencemik.
            “Assalamualaikum ibu…” Umar melangkah pergi. Dia cuba untuk melarikan diri dari soalan-soalan yang bakalan ditanya oleh ibunya.
            “Waalaikummussalam….” Jawab Puan Salima perlahan sambil menghantar Umar ke pagar menuju ke arah keretanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

leave your comment here!