Advertlets Ads

16 Feb 2015

Bab 03: Cerita Cinta Yang Tertangguh

Bab 03: Cerita Cinta Yang Tertangguh




“Iman tak balik lagi ke Gayah?” tanya Encik Salleh sambil menjengah ke luar jendela. “Dah senja tak balik lagi budak bertuah ni.” rungut Encik Salleh.

“Entahlah abang. Si Iman tu mana balik ke rumah lagi lepas sekolah agama tadi. Along, Uda dengan Uteh ada balik dulu sebelum keluar bermain.” jawab Puan Rogayah sambil dia menghenjut buaian anak bongsunya Ila yang baru berusia tiga bulan.

“Awak tegas sikit dengan Iman tu Gayah. Abang ni sibuk, keluar 6.30 pagi, 6.00 petang baru sampai rumah. Abang takde masa nak tegur perangai si Iman tu. Abang tengok makin menjadi-jadi perangai dia tu.” lembut tapi tegas bicara Encik Salleh.

“Iman tu nakal sikit je abang. Maklumlah budak-budak. Lagi pun Iman tu cerdik walaupun nakal. Dekat sekolah selalu dapat nombor satu.” Puan Rogayah tersenyum mengenangkan pencapaian anak-anaknya dalam pelajaran. Bukan sahaja Iman, Along, Ude dan Uteh masing-masing cemerlang dalam peperiksaan di sekolah. Lebih membanggakannya, di usia sekolah rendah anak-anaknya telah khatam Al-Quran malah mampu mengaji dengan lancar sehinggakan menjadi kesayangan tok guru mengaji mereka yang dipanggil Atok Kadir.

“Abang tak nafikan yang Iman tu bijak Gayah, tapi kenakalan dia tu yang abang bimbangkan. Satu lagi, kawan-kawan dia tu semuanya budak-budak nakal. Abang kalau boleh tak nak Iman terpengaruh dengan kenakalan kawan-kawan dia tu.” jawab Encik Salleh perlahan sambil menarik daun tingkap untuk ditutup.

“Along, pergi cari Iman. Panggil dia balik.” arah Puan Rogayah kepada anak sulungnya.

Irfan bangun dan meletakkan buku latihan matematiknya di meja. “Nak cari Iman dekat mana ni mak?” Irfan bertanya sambil mengaru-garu kepala yang tak gatal.

“Pergilah tengok dekat rumah kawan-kawan dia.” jawab Puan Rogayah acuh tak acuh sambil menyusukan Ila yang telah bangun dari tidurnya.

“Kawan yang mana satu? Dia kan ramai kawan.” Irfan mengaru lagi kepalanya.

“Along pergi tengok Iman dekat rumah Hairi. Biasanya dia main dekat situ.” sampuk Encik Salleh.

Irfan yang mendengar kata-kata abahnya patuh terus pergi mencari Iman.

“Duit dapur ada lagi Gayah?” tanya Encik Salleh sambil menyalakan api rokoknya.

“Ada lagi tapi tak banyak dah yang tinggal.” jawab Puan Rogayah perlahan.

Encik Salleh menyedut rokoknya dalam-dalam kemudian dihembuskan asapnya keluar. “Kalau tak cukup, cakaplah. Nanti abang beri lagi.” kata Encik Salleh sambil mengerling isterinya.

“Cukuplah tu. Saya bukannya ada apa-apa nak dibeli sangat. Lauk pauk pun abang dah belikan. Saya cuma beli sikit buat tambah-tambah je.” jawab Puan Rogayah lembut sambil memandang suaminya yang duduk di tepi pintu berhampiran beranda. “Abang tu, kurang-kurangkan merokok. Bukan sahaja membazir duit, tapi membahayakan kesihatan. Abang tu dah lah ada penyakit asthma.” tegur Puan Rogayah secara berhemah.

Encik Salleh tersenyum mendengar kata-kata isterinya itu. Ditenungnya rokok dicelah jari jemari tuanya dalam-dalam kemudian dia menghalakan rokok itu ke bibirnya dan disedut rokok itu dalam-dalam. Kemudian dihembuskan kepulan asap tebal tanda puas. Dia kemudian mencampak puntung rokok di jari ke tanah dan memandang isterinya yang duduk tidak jauh darinya. 

 “Abang ni memang dah sedia sakit Gayah. Ubat tak mampu nak sembuhkan abang, jadi biarlah rokok yang mententeramkan abang.” bicara Encik Salleh sayu.

“Sekurang-kurangnya kalau abang tak merokok, takdelah teruk sangat asthma abang tu. Saya ni bukan apa abang, anak-anak kita ni kecil-kecil lagi.” 

“Yelah. Nanti abang cuba berhenti.” Encik Salleh mengalah dengan kehendak isterinya itu.


Puan Rogayah menjeling sekilas suaminya yang acapkali berjanji itu. Encik Salleh hanya tersenyum melihat jelingan isterinya itu sambil membuang pandang ke luar rumah.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

leave your comment here!